Ticker

6/recent/ticker-posts

Ustaz Azhar Idrus tiada tauliah mengajar agama di Selangor, kata Jais

 


Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah mengesahkan bahawa penceramah bebas Ustaz Azhar Idrus tidak mempunyai tauliah untuk mengajar tentang agama Islam di Selangor.


Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, telah mengulas isu pembatalan Kuliah Maghrib Ustaz Azhar Idrus yang sepatutnya diadakan di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, Shah Alam pada hari Ahad ini.


Beliau menyatakan bahawa kuasa Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan JAIS tertakluk kepada undang-undang dan peraturan yang berkuatkuasa di Selangor.


"Semua individu yang mengajar tentang agama Islam di Selangor perlu mematuhi undang-undang dan peraturan.


"Pihak masjid atau surau juga tidak boleh menjemput individu tidak memiliki tauliah mengajar diberikan di bawah Seksyen 118 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 Pindaan 2016," katanya dalam kenyataan hari ini.


Terdahulu, tular satu hantaran di Facebook Ustaz Azhar Idrus semalam berkenaan kuliah maghribnya yang sepatutnya diadakan di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah terpaksa dibatalkan atas kuasa JAIS.


"Mohon maaf kepada rakyat Selangor kerana tidak dapat menyampaikan kuliyah di negeri anda.


"Oleh kerana itu Kuliah Maghrib pada tarikh 26 Feb ditukarkan ke Masjid Ar-Rahimah Kampung Pandan, Kuala Lumpur. Mohon sebaran seluasnya," katanya.


- Bernama

Post a Comment

0 Comments