Ticker

6/recent/ticker-posts

Jelita persis Nora Danish, Mohd Mentor tidak galak isteri jadi pelakon



Nama isteri penyanyi Mohd Mentor menjadi perhatian warga netizen, baru-baru ini.


Kejelitaan wajah isteri Mohd, Nurul Asyiqin Zaidi, 28, yang dikatakan mirip pelakon, Nora Danish mula diperkatakan.

Tanpa berselindung, juara program realiti, Mentor musim keempat itu mengakui, isterinya pernah menerima tawaran berlakon daripada syarikat produksi.


"Isteri terima tawaran menghadiri uji bakat. Bagaimanapun, isteri tidak berminat untuk terjun dalam bidang lakonan.


"Tambahan pula, saya tidak berapa menggalakkan. Saya bimbang tiada masa untuk keluarga dan menguruskan anak.

"Takkan nak biarkan pengasuh menjaga anak," katanya kepada BH Online.

Berkongsi lanjut, protege kepada Ziana Zain dalam program realiti, Mentor itu berkata, dia dan isterinya pernah didekati wakil pihak produksi yang mahu menyunting isterinya sebagai pelakon.


"Ketika kami menjamu selera di sebuah premis kawasan pejabat, ada individu menyapa dan bertanya sama ada isteri minat berlakon.


"Namun, perbualan berakhir begitu sahaja," kata Mohd.


Ditanya andai isteri menerima tempias perhatian warga netizen, Mohd tetap memberi keizinan untuk isterinya terus aktif sebagai pempengaruh media sosial.


Malah, katanya, isterinya turut mempunyai ramai pengikut dalam aplikasi TikTok.


"Isteri bekerja di sebuah syarikat swasta. Kalau tular membabitkan perkara yang baik-baik, saya okay sahaja.



"Soal cemburu letak ketepi, ini semua rezeki, kita pun tak tahu. Mana tahu isteri boleh menjana pendapatan sampingan dengan melakukan ulasan berbayar," katanya.


Mohd menegaskan, dia terbuka dengan aktiviti isteri dalam media sosial.


"Saya jarang berkongsi gambar isteri dalam media sosial. Lagipun, laman sosial saya tidak ramai pengikut.


"Isteri ada akaun sendiri, jadi, biarlah dia aktif sebagai pempengaruh media sosial. Cuma, saya tidak mahu isteri bekerja secara berlebihan dalam industri seni," katanya yang kini mengusahakan restoran, Nasi Lemak Puakez di Danau Kota, Setapak.


Mohd mendirikan rumah tangga Nurul Asyiqin pada 14 Oktober 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Mohd Izz Rafael Mohd Izwan yang kini berusia tiga tahun.


Sumber : Berita Harian Online

Post a Comment

0 Comments