Hampir sembilan tahun melayari bahtera perkahwinan, pelakon Puteri Sarah Liyana akhirnya nekad memfailkan permohonan cerai terhadap suami iaitu pengarah Syamsul Yusof.
Susulan itu, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menetapkan 7 Mac depan sebagai hari sebutan kes bagi permohonan cerai berkenaan.
Sarah atau Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 38, ketika ditemui mStar berkata tarikh yang ditetapkan oleh mahkamah itu dilihat signifikan kerana hampir dengan tarikh ulang tahun perkahwinan mereka.
"Saya lega, kalau ikutkan tahun ini cukup sembilan tahun perkahwinan kami dan sebenarnya tarikh 7 Mac yang ditetapkan mahkamah ini sangat signifikan kerana 8 Mac adalah tarikh ulang tahun perkahwinan kami yang kesembilan.
"Syukur Alhamdulillah, cukuplah sembilan tahun saya menjadi isteri kepada Mohd Syamsul. Nampaknya tak ada rezeki," katanya kepada mStar.
Sarah berkongsi perkara itu ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, Jalan Duta pada pagi Isnin.
Sarah yang tiba kira-kira pukul 10.30 pagi ditemani dua orang adiknya serta diwakili peguam Datuk Akberdin Abdul Kader.
Dalam pada itu, Sarah turut menegaskan dia bukanlah anti kepada poligami, tetapi dia bertindak menuntut cerai kerana kecewa ditipu oleh suami.
Kata Sarah lagi, segala usaha yang dilakukan untuk memperbaiki hubungan mereka suami isteri nampaknya tidak berhasil.
"Sebenarnya poligami itu indah sekiranya suami itu berlaku adil. Tapi sebab saya ditipu dan tak minta izin dan tak berbincang dulu. Jadi saya rasa ini jalan terbaik dan Alhamdulillah saya jalankan tugas sebagai seorang isteri.
"Apa yang saya boleh katakan, Alhamdulillah saya sudah menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri. Saya dah buat yang terbaik, berbincang dengan keluarga, saya bertahan, berjumpa dengan ustaz dan ustazah tapi sama juga masih tiada perubahan," jelasnya.
Sementara itu, Sarah menyifatkan doanya sewaktu mengerjakan ibadah Umrah telah dimakbulkan oleh Allah.
Pelakon drama Andai Itu Takdirnya ini berkata usaha dan istikharah yang dilakukan adalah jawapan kepada semua keputusan yang dibuat.
"Hari itu masa saya pergi umrah dan saya minta Allah tunjukkan jalan dan Allah memang dah tunjuk semua.
"Bila kita solat istikharah dan bila kita nak buat sesuatu, Allah permudahkan dan rasa tenang hati, dan maknanya inilah petunjuk yang Allah dah bagi," katanya.
Sebelum ini, Sarah menerusi Instagram memohon agar Syamsul melepaskannya kerana tidak rela dimadukan.
Untuk rekod, Syamsul dan Sarah bernikah pada 8 Mac 2014 dan mereka dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 5.
Pada 6 Januari lalu, Syamsul telah mendedahkan bahawa dirinya telah bernikah dengan Ira di Thailand berwakil walikan ayahnya, Kazar Saisi.
Sumber : mStar Online
0 Comments