Raja Pop Legenda, Datuk Jamal Abdillah, 63 tahun, memberikan peluang kepada peminat untuk memilih nama yang sesuai untuk anak keempatnya bersama isterinya, Datin Zai Izzati Khiruddin, 27 tahun, yang dijangka akan lahir pada 23 Mac.
Menurut Jamal, dia juga meminta peminat dan pengikutnya di media sosial untuk memberikan cadangan nama yang sesuai untuk ahli baru dalam keluarganya.
"Kalau peminat atau pengikut di laman sosial saya ada nama sesuai dengan maksud yang baik dan indah untuk bayi perempuan kami ini, boleh tinggalkan komen di laman Instagram saya dan isteri.
"Kami masih mencari nama yang sesuai lagi dan isteri pula hanya serahkan pada saya untuk memilihnya," katanya.
Sebagai bapa, Jamal berkata, dia dan isterinya juga tidak sabar menantikan kelahiran bayi perempuan itu sekali gus melengkapkan lagi kebahagiaan rumah tangganya.
"Alhamdulillah, isteri saya, Zai dan bayi perempuan dalam kandungannya juga dalam keadaan sihat serta tiada masalah.
"Usia kandungan isteri juga sudah mencecah tujuh bulan. Setakat ini, semuanya baik-baik sahaja," katanya kepada Harian Metro.
Ditanya sama ada merancang untuk menambah anak lagi selepas ini, Jamal memberitahu, dia dan isteri memutuskan anak keempat itu adalah yang terakhir.
"Saya berasa sudah cukup kami memiliki empat anak iaitu dua pasang anak lelaki dan perempuan.
"Kalau nak tambah anak lagi, saya perlu fikirkan kos untuk kami besarkan dan menyara mereka hingga masuk ke universiti.
"Justeru, fokus kami sekarang untuk membesarkan anak-anak yang masih kecil ini dan memberikan pendidikan terbaik buat mereka," katanya.
Jamal mendirikan rumah tangga dengan Zai Izzati pada 1 April 2017. Hasil perkongsian hidup dengan Zai, Jamal memiliki tiga anak iaitu Nur Azura Yamani, 3; El Isaac Yamani atau Zack,2; dan Isksndar Rayyan Yamani yang dilahirkan pada 22 Februari tahun lalu.
Menerusi perkahwinan terdahulu, Jamal juga memiliki dua anak iaitu Osama Yamani, 20, dan Ahmad Zaki Yamani, 16.
Sumber : Harian Metro
0 Comments