Ticker

6/recent/ticker-posts

Tak Pernah Lagi Dalam Sejarah PM Lantik Anak Jadi Penasihat - Muhyiddin

 


Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin, muncul sebagai pemimpin baru yang mengkritik pelantikan Nurul Izzah Anwar sebagai Penasihat Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Menurut beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh, tindakan tersebut tidak selari dengan prinsip reformasi yang selama ini dikampanyekan oleh Anwar dan penyokongnya.


"Tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia seorang Perdana Menteri melantik anak sebagai penasihat."


“Pelantikan ini menjadikan slogan reformasi yang dilaungkan oleh Anwar sejak lebih 20 tahun lalu sebagai omongan kosong,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Isnin.


Pada Ahad, Nurul Izzah yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah mendedahkan beliau telah dilantik sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri berkuat kuasa 3 Januari lalu.





Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri berkata, langkah terbaharu Anwar itu bukan satu-satunya tindakan dilakukan Anwar yang dilihat bertentangan dengan prinsip reformasi sejak Ahli Parlimen Tambun itu memegang jawatan pada akhir November tahun lalu.


Jelasnya, ini kerana Anwar dilihat tidak memulakan langkah pentadbirannya dengan betul sejak daripada awal apabila melantik Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang sedang berhadapan dengan pertuduhan di Mahkamah sebagai Timbalan Perdana Menteri.


Selain itu, menurut Muhyiddin, tindakan Anwar untuk memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan juga tidak selari dengan prinsip dilaungkan oleh Presiden PKR itu.


“Belum sampai 100 hari memerintah, Anwar telah mengkhianati semangat perjuangan Reformasi yang didokong oleh penyokong-penyokongnya sendiri.


“Sebagai pemimpin parti pembangkang, saya boleh saja mengambil kesempatan daripada kesilapan demi kesilapan yang dilakukan oleh Anwar dan kerajaannya. Tetapi sebagai rakyat biasa, saya tidak rela melihat maruah negara tercalar kerana keterlanjuran Perdana Menteri.


“Masih belum terlambat untuk Anwar memperbaiki keadaan. Letak jawatan sebagai Menteri Kewangan. Fokus kepada tugas sebagai Perdana Menteri lebih-lebih lagi ketika rakyat dan negara sedang menghadapi waktu yang sukar,” ujarnya.


Beliau turut mengingatkan Anwar bahawa skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berlaku semasa Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan.


Pada masa sama, Muhyiddin turut menasihatkan agar Ahmad Zahid diberikan cuti sehingga perbicaraan dihadapi Ahli Parlimen Bagan Datuk itu selesai.


“Akhir sekali, nasihatlah Nurul Izzah supaya meletak jawatan sebagai Penasihat Perdana Menteri. Saya percaya beliau seorang pemimpin wanita muda yang berbakat dan berpotensi besar.


“Janganlah pelantikan kecil yang tidak kena pada tempatnya ini menjadi titik hitam dalam perjalanan politiknya menuju masa hadapan yang mungkin lebih cerah,” ujarnya.


Sumber : Sinar Harian

Post a Comment

0 Comments