Ticker

6/recent/ticker-posts

[VIDEO] Bayi Perempuan Berwajah ‘Ultraman’, Ibu Bapa Terharu Satu Dunia Doakan Anak Syurga

 


SETIAP wanita yang bergelar ibu semestinya mahukan anak yang dilahirkan cukup sifat dan sempurna seperti bayi lain.

Namun, lain pula kisahnya bagi seorang wanita ini apabila bayi perempuannya yang dilahirkan pada malam Tahun Baharu 2023 menghidapi sejenis penyakit genetik yang dikenali sebagai 'Harlequin Ichthyosis'.

Ibu kepada bayi malang itu yang hanya mahu dikenali sebagai JK dan suaminya, MA merupakan penduduk miskin yang berasal dari Kampung Janja, Daerah Lampasio, Indonesia.

Bayi perempuan yang belum diberikan nama tersebut dilahirkan di Pusat Kesihatan Lampasio dengan berat badan 2.2kg.

Melihatkan keadaan bayi yang dilahirkan itu, Pusat Kesihatan berkenaan segera merujuk ke pihak Hospital Besar Wilayah (RSUD) Mokopido Tolitoli untuk menjalankan rawatan khas lanjut dengan peralatan dan anggota perubatan yang lebih lengkap.

'Harlequin Ichthyosis' merupakan sejenis gangguan genetik yang sangat jarang berlaku dan menyebabkan badan seseorang itu tidak mempunyai kulit normal seperti yang lain.

Menurut laporan doktor dari hospital, kes seperti itu dikatakan hanya terjadi pada seorang daripada 300,000 kelahiran di muka bumi ini dan ia berlaku disebabkan faktor genetik atau pendedahan kepada sinaran, bahan kimia dan jangkitan virus.

Kebiasaannya, kanak-kanak yang dilahirkan dengan penyakit ini akan mempunyai badan yang dilitupi kulit putih tebal dengan rekahan merah, kelopak mata timbul akibat timbunan tisu kulit, mata tidak tertutup, bibir ditarik rapat menyukarkan penyusuan dan beberapa lagi ciri lain.

Daripada 10 juta pesakit genetik itu, hanya seorang yang mampu terus hidup sekiranya ada rawatan rapi yang dijalankan.

Apabila usia semakin meningkat, penghidap 'Harlequin Ichthyosis' akan mengalami beberapa masalah antaranya kuku tebal, pergerakan semakin sukar, rambut yang jarang, kecacatan pada kulit muka dan masalah pendengaran.

Susulan kelahiran bayi tersebut, rata-rata warganet di Instagram meluahkan kata-kata semangat buat si ibu.

"Ya ALLAH macam Ultraman muka bayi itu, semoga membesar jadi anak solehah dan diberikan kesembuhan secepat yang mungkin," kata Rahmad Antonio.

"Kasihan kecil lagi sudah diduga dengan ujian, harap si ibu kuat semangat dan tidak berhenti berdoa kepada ALLAH," ujar Santi Riyanti.

"Semoga ibunya terus kuat dan tabah dengan ujian yang dialami, tiada siapa yang minta untuk dilahirkan seperti itu jadi sebaiknya kita doakan yang terbaik buat keluarganya," tambah Shanty Larasati.

Ketua Pusat Kesihatan Lampasio mengesahkan berita tersebut sebaik menyambut kelahiran bayi itu selepas laman media dihujani dengan komen warganet berhubung video tular tersebut.

Ibu bapa kepada bayi berkenaan juga dilaporkan reda dengan segala ketentuan Tuhan dan turut mengucapkan terima kasih atas doa yang dikirim orang ramai di laman media. — Agensi

Post a Comment

0 Comments