Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) mengenakan denda kepada 51 pengusaha premis perniagaan kerana kesalahan pekerja wanita tidak menutup aurat dengan sempurna sepanjang tahun lalu.
Presidennya, Rosnazli Amin berkata, pengusaha itu dikenakan denda melalui operasi khas yang melibatkan premis di bawah pentadbiran MPKB-BRI.
Menurut beliau, hasil daripada operasi tersebut, mereka mendapati masih ada pekerja wanita yang tidak menutup aurat dengan sempurna, seperti memakai baju-t berlengan pendek dan terlalu ketat.
“Kita mengeluarkan kompaun maksimum sebanyak RM500 kepada pengusaha tersebut di bawah Undang-Undang Kecil Tred Perniagaan, Perniagaan dan Perindustrian MPKB-BRI bagi kesalahan tidak menutup aurat dan berpakaian tidak sopan.
“Bagi tahun 2021 pula, sebanyak 35 kompaun dikeluarkan kepada pengusaha premis perniagaan atas kesalahan itu. Jumlah itu menunjukkan peningkatan pada tahun lalu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Rosnazli menjelaskan lebih lanjut bahwa kakitangan Jabatan Pembangunan Islam, MPKB-BRI sedang memperkuat semula operasi dengan memberikan nasihat kepada pekerja-pekerja di premis perniagaan agar menutup aurat dengan sempurna dan berpakaian sopan kepada wanita bukan Islam.
Menurutnya, ini merupakan usaha berterusan yang perlu dilakukan selain dari tindakan
kompaun terhadap mereka yang melanggar syarat yang ditetapkan.
"Usaha masyarakat terutama wanita di Kota Bharu untuk menutup aurat sudah boleh dipuji. Namun, pemahaman sebenar mengenai had atau batasan aurat harus benar-benar dipatuhi," katanya.
"Masih ada wanita yang salah apabila memakai tudung, namun berpakaian terlalu ketat dan berlengan pendek," tambahnya. -
SUMBER: KOSMO ONLINE
0 Comments