Ticker

6/recent/ticker-posts

Segerakan bayaran RM60,000 tanpa sebarang ansuran - Hidayah

 


Balu Allahyarham Abam Bocey, Siti Norhidayah Mohd Ali atau lebih dikenali sebagai Hidayah meminta pelawak Ali Puteh untuk membayar jumlah RM60,000 yang ditentukan oleh mahkamah sebelum ini tanpa menggunakan kaedah ansuran.


Hidayah mengatakan bahawa dia tidak setuju jika pihak Ali ingin membayar jumlah tersebut secara ansuran kerana sudah cukup lama masa diberikan dan sekarang dia ingin fokus pada kehidupan bersama anaknya, Syed Uthman Hamzah serta perniagaan.


"Saya tidak bersetuju dengan bayaran secara ansuran kerana perkara ini sudah diberi tempoh masa yang agak lama serta peguam saya juga memberi notis selama 21 hari untuk memberi kerjasama, tetapi pihak sana (Ali) tidak memberi sebarang jawapan.


"Dengan ini, saya menegaskan untuk pihak sana segerakan bayaran tanpa sebarang ansuran kerana saya tidak mahu ada sebarang perkara yang tidak diingini berlaku agar tidak ada perkara berbangkit kerana hal ini adalah perintah mahkamah yang jelas.


"Saya juga ingin fokus dengan kehidupan saya dan Hamzah (anak) serta bisnes saya. Jadi, saya minta permudahkan urusan saya dan bayar dalam kadar segera kerana saya telah beri ruang dan tempoh masa yang agak lama sebelum ini. Hal ini akan diketengahkan dengan tindakan segera jika pihak sana masih melengah-lengahkan dan tidak memberi kerjasama," katanya kepada Harian Metro.


Ditanya sama ada peguam dari pihak Hidayah sudah dimaklumkan akan tindakan Ali membayar jumlah tersebut secara ansuran, Hidayah berkata peguamnya belum menerima sebarang surat atau makluman dari pihak Ali.


Menurut laporan Harian Metro sebelum ini, Ali memberitahu bahawa dia akan membayar jumlah RM60,000 kepada Hidayah yang ditentukan oleh mahkamah secara ansuran.

Katanya, proses pembayaran masih sedang dalam perbincangan antara peguamnya dan peguam Hidayah.


Pada 18 Februari tahun lalu, Mahkamah Sesyen memerintahkan Ali atau nama sebenarnya Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan dan tiga ahli keluarganya untuk membayar jumlah RM60,000 kepada Hidayah kerana mengeluarkan kata-kata yang mengaibkan wanita tersebut di Instagram, dua tahun sebelumnya.


Sumber : Harian Metro

Post a Comment

0 Comments