Penyanyi Baby Shima menyatakan bahawa komen pedas Mas Idayu dalam program Famili Duo baru-baru ini dianggap sebagai bentuk teguran yang biasa.
Menurut laporan mStar Online, Shima berkata dia pernah mengalami situasi yang sama dengan Sissy Imann dan beranggapan bahawa teguran Mas Idayu membuatnya lebih bersemangat dan meningkatkan kualiti nyanyiannya.
“Semasa dimarahi mummy (Mas Idayu) dulu, saya diam sahaja dan terima semua komen tersebut sebab saya tahu saya buat salah.
“Bagi saya, ia teguran membina dan kita harus belajar dari kesilapan. Kritikan mummy pedas dan berisi! Yang salah tetap salah. Selalunya yang kena marah akan memberikan persembahan lebih baik pada minggu hadapan,” katanya.
Selain itu, Shima juga menganggap Mas Idayu atau lebih mesra dipanggil "Mummy" sebagai seseorang yang jujur dalam memberikan komen tentang persembahan.
Dia juga menyatakan bahawa peserta akan dapat mengetahui kesalahan mereka melalui komen yang diberikan oleh Mummy.
“Mummy antara juri program yang paling bagus sebab dia tak fake tentang persembahan. Berbanding artis lain yang lebih memuji sedangkan tahu persembahan itu teruk.
Kalau tidak ada komen sebegitu sampai bila-bila peserta itu tidak tahu kesalahan yang dilakukan,” katanya.
Pada Ahad yang lepas, Sissy tidak dapat menahan air matanya ketika menerima kritikan dari Mas Idayu selepas dia menyampaikan lagu berjudul Jampi bersama pasangan duetnya, Naim Daniel.
Ramai penonton tidak bersetuju dengan tindakan Mas Idayu memberikan komen secara terbuka kerana dianggap menjatuhkan martabat seorang artis.
Sumber : MStar Online
0 Comments