"Aku ok! Maaf aku tidak dapat layan kau sebagai isteri kerana masih bersama Paan (kekasih suami). Nak (hendak) bercerai atau hormat privasi aku. Terpulang."
Itu kandungan mesej diterima wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Ain, 32.
Ain hanya sempat memegang status 'isteri' selama sebulan apabila suami yang baru dikahwini meninggalkannya untuk tinggal bersama pasangan sejenis.
Kata Ain, dia tidak menyangka, suami yang dijodohkan keluarga itu memiliki kecenderungan menjalin hubungan sejenis walaupun mempunyai pegangan agama yang kukuh.
"Saya terduduk dan rasa harga diri seorang wanita diragut kerana kalah dengan kekasih suami yang juga lelaki. Sebelum ini, saya menyangkakan Paan adalah kawan baik suami.
"Setiap kali kami bertemu ketika kami berkawan, Paan memberi alasan menemani suami kerana tidak mahu timbul fitnah.
"Tidak sangka, suami dan Paan 'menikam' saya dari belakang. Saya cukup terluka dengan perkahwinan ini," katanya.
Ain berkata, sejak bergelar suami isteri, suaminya tidak pernah 'bersamanya', malah lelaki terbabit menghilang selama seminggu.
Ain yang bimbang kemudiannya mengirim mesej melalui aplikasi 'WhatsApp' kepada suminya.
"Selesai kenduri kedua-dua belah pihak (dilakukan serentak di Kuala Lumpur) saya tidak dapat hidu lagi masalah sehinggalah kami pulang ke rumah (rumah dibeli suami)," katanya.
Sebelum keluar rumah, menurut Ain, suaminya memberitahu mahu bertemu Paan namun lelaki terbabit gagal pulang selama tiga hari.
Apabila dihubungi, lelaki terbabit meminta Ain menunggu di rumah kerana dia ada hal dengan Paan.
"Esoknya, saya minta kebenarannya untuk pulang rumah keluarga dan mahu menziarah mentua kerana ibunya meminta saya mengambil baju nikah kami, sekali lagi saya hubungi dia.
"Suami marah dan mengugut, jika saya pulang ke rumah ibu dan pergi ke rumah keluarganya, saya dianggap nusyuz. Hal itu berlarutan sehingga dua minggu.
"Akhirnya, saya terpaksa mengugut untuk laporkan kehilangan dia jika tidak pulang ke rumah. Selepas itu barulah dia tinggalkan mesej berkenaan yang menjawab kebingungan saya mengenai perubahan sikap suami selepas berkahwin," katanya.
Dirasakan tiada penghujung, Ain menuntut fasakh selepas sebulan berkahwin dan pada masa sama memaklumkan hal itu kepada keluarga mentua.
"Ibu mentua sebenarnya ada firasat, tetapi apabila suami bersetuju untuk berkahwin, dia berasa gembira apatah lagi mengenali saya dan keluarga.
"Saya terkilan dengan sikap suami yang tergamak mempergunakan saya sebagai perisai untuk menutup nafsu songsangnya.
"Tidak semena-mena, pada usia 24 tahun, saya bergelar janda dan lebih mengecewakan, ada keluarga sebelah suami menyalahkan saya selepas kami bercerai," katanya.
Ain mengakui turut mendapatkan khidmat pakar psikologi untuk merawat traumanya itu.
Sanggup berhabis wang demi 'ikat' anak ikan
Kuala Lumpur: Bukan sahaja wang, malah barang kemas, kereta dan rumah antara pemberian lelaki berstatus suami orang kepada 'anak ikan' masing-masing.
Menurut Pengerusi Insaf Pahang, Nurshamsuri Junid, pemberian itu atas dasar kasih dan juga 'mengikat' pasangan untuk kekal bersama mereka.
"Bagi suami orang yang memiliki anak ikan ini, mereka sanggup berhabis dan menampung keperluan daripada segi wang sara diri sehinggalah membiayai tempat tinggal.
"Sebagai balasan, anak ikan ini memberi layanan terbaik kepada pasangan yang mana ia mungkin tidak dapat dipenuhi isteri masing-masing," katanya.
Kata Nurshamsuri, kebanyakan anak ikan juga menerima pasangan yang berstatus suami orang kerana faktor kewangan stabil, seks dan kasih sayang.
"Tidak dinafikan, golongan ini menerima pasangan berstatus suami orang kerana mereka diberi layanan kasih sayang.
"Malah, ada juga yang terikat dengan pasangan mereka kerana diberi wang dan hadiah lain.
"Pada satu tahap, pernah juga lelaki berstatus suami orang ini meninggalkan isteri untuk bersama pasangan sejenis mereka," katanya.
Golongan VIP lelaki antara individu songsang yang menyimpan 'anak ikan' walaupun sudah berkahwin dan memiliki anak yang sudah dewasa.
Pada masa sama, golongan profesional yang berpendapatan puluhan ribu ringgit sebulan turut menyimpan anak ikan semata-mata mahu melampiaskan nafsu songsang mereka.
Kaunselor Perkahwinan, Hushim Salleh berkata, sepanjang tahun lalu, beliau menerima 40 kes berkaitan golongan songsang ini yang kesemuanya mengakui menyimpan anak ikan.
"Bagi tahun ini pula, setakat ini, saya menerima 25 aduan berkaitan kes sama. Antara yang terbabit ialah VIP, doktor, jurutera dan pegawai tinggi dalam organisasi atau korporat.
"Individu ini semuanya sudah berkahwin dan sudah memiliki anak namun mereka menyimpan anak ikan kerana nafsu songsang menguasai diri dan sukar untuk berhenti," katanya.
Menurut Hushim, pada masa sama, berdasarkan pengamatannya, kesemua individu terbabit pernah menjadi mangsa gangguan golongan songsang dan apabila dewasa, mereka melakukannya pada individu lain.
"Mereka ini umpama 'ketagihan candu', mahu berhenti, tetapi tetap mahukan lelaki. Dikatakan juga, layanan anak ikan lebih 'mesra' berbanding layanan isteri.
"Mereka ini memang mahu berhenti kerana sedar dengan hukum agama dan keburukan perkara terbabit namun terlalu sukar untuk melakukannya," katanya.
Menurut Hushim, isteri yang memiliki pasangan sedemikian pula terpaksa akur kerana latar belakang suami yang memiliki kewangan baik dan stabil.
"Isteri terpaksa menghadap sisi hitam suami yang memiliki selera dengan pasangan sejenis. Mereka tidak dapat tinggalkan pasangan atas faktor pendapatan suami tinggi dan stabil.
"Dalam satu kes saya kendalikan, suami memiliki pendapatan sehingga RM60,000 sebulan dan mampu 'membela'.
"Isteri hanya berusaha untuk bertahan selain mendapatkan bantuan untuk menangani trauma serta penderitaan batin sepanjang perkahwinan," katanya.
Sumber : Harian Metro
0 Comments