Ticker

6/recent/ticker-posts

Dengan sekali lafaz, Raysha kini sah jadi milik Nabil

 

Pelakon Raysha Rizrose, 27, telah sah menjadi isteri kepada pelumba kereta Formula 2, Nabil Jeffri, 29, pada pukul 8.52 malam di Grand Hyatt Hotel, hari ini.


Majlis perkahwinan dijalankan oleh bapa pengantin perempuan, Mohd Fariz Arshad, dihadiri oleh Pendaftar Nikah Cerai Rujuk, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Ustaz Muhammad Fairudz Saderi.


Dalam majlis yang dihadiri oleh lebih kurang 200 orang tetamu, pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin RM2,222 serta tujuh dulang hantaran berjumlah sama. Walau bagaimanapun, jumlah wang hantaran tidak didedahkan atas permintaan keluarga.

Raysha, atau nama sebenarnya Farza Naquraisha Mohd Fariz, yang tampil cantik dalam gaun putih, merasa bersyukur kerana majlis berjalan lancar.


"Alhamdulillah segala yang dirancang salama ini dipermudahkan. 


"Saya amat terharu kerana sejak mengumumkan berita pertunangan, saya terima banyak mesej dan doa yang baik-baik. Saya doakan kebaikan sama berbalik kepada semua.


"Semoga permulaan fasa baharu membina masjid ini akan terus mematangkan saya dan suami, insha-Allah," katanya.



Adik kepada Uqasha Senrose dan Nelydia Senrose itu sempat menyingkap kisah perkenalan mereka  sejak 10 tahun lalu. 


"Kami kenal dari tahun 2013 menerusi akaun Twitter. Ketika itu saya masih menuntut di sekolah menengah.


"Biasalah dalam tempoh sedekad itu, hubungan kami ada turun naik. Tapi pada akhirnya kami banyak bertolak-ansur. Kepercayaan dan komunikasi menjadi teras kepada hubungan kami," kata anak keempat daripada tujuh beradik itu.


Terdahulu pasangan itu selamat melangsungkan majlis pertunangan secara tertutup di Tropicana Golf & Country, Petaling Jaya, Selangor pada 22 Disember tahun lalu. 


Untuk rekod, Raysha menjalinkan hubungan bersama Nabil selama 10 tahun sejak di bangku sekolah menengah.


SUMBER :HARIAN METRO

Post a Comment

0 Comments