"Satu mesej dan panggilan telefon tidak akan menyelesaikan kemelut ini. Kalau mahu perbetulkan keadaan, jadi lelaki sebenar dan datang ke rumah minta maaf kepada ibu bapa saya," kata pelakon, Zarina Anjoulie yang ditujukan buat bekas tunangnya, Datuk Seri Khazrul Elzey selain memintanya berhenti menggunakan dirinya sebagai 'content' (kandungan) di media sosial.
Zarina atau mesra disapa Anju berkenaan, siaran langsung di media sosial yang dilakukan ini adalah kali terakhir dia bercerita dan mengulas mengenai bekas tunangnya kerana membabitkan banyak pihak.
"Saya mengenangkan emak ayah awak sudah tua, jadi saya memilih tidak mahu membuka aib dengan bercerita apa yang sebenarnya berlaku. Saya juga tidak mahu kembali dengan sikap lama dulu. Malah, mungkin ramai yang boleh menjangka apa yang saya boleh lakukan kepada dia.
"Tolong berhenti menggunakan saya sebagai 'content' dan jangan sebut nama saya lagi. Ini juga kali terakhir saya menyebut nama awak dan jika ada yang bertanya mungkin saya akan katakan tidak mengenali awak.
"Saya tidak akan memaafkan awak dengan mudah selepas apa yang awak lakukan. Jadilah lelaki sejati dan berdepan dengan ibu bapa saya. Sekarang awak sudah memalukan ibu bapa saya dengan memperlakukan saya sebegini," katanya.
Menerusi ruangan komen, rata-rata peminat bersetuju dengan pendekatan yang diambil Anju. Malah, ramai melihat Anju lebih matang selepas melalui pelbagai dugaan dan cabaran.
"Awak sudah berusia 45 tahun dan sudah menunaikan Haji, jadi seharusnya cara pemikiran lebih matang. Bagaimana saya yang lebih muda mengendalikan situasi ini dengan lebih baik?
"Malah, 'content' yang dimuat naik juga memberi tempias kepada beberapa bekas isteri awak daripada perkahwinan terdahulu. Apabila tidak berfikir panjang, habis semua dikorek oleh netizen.
"Orang yang tidak bersalah juga terkena tempias. Tolonglah berfikir panjang sebelum membuat sebarang tindakan," katanya.
Terdahulu, Khazrul menulis luahan bahawa dia bukanlah orang yang baik seperti diimpikan Anju dan berharap akan terus bersahabat.
Dalam hantaran yang turut disertakan dengan gambar-gambar kenangan ketika bersama, Khazrul turut meluahkan rasa kasih dan sayangnya kepada Anju.
Sumber : Harian Metro
0 Comments