“NAK saya tutup aurat, tapi pegang-pegang. Tidak mengapa, saya anggap itu semua sebagai pengajaran.”
Begitu pula dengan pendedahan Zarina Anjoulie yang membalas paku kepada bekas tunangnya, Datuk Seri Khazrul Ezley, yang memarahinya atas tindakan memakai gaun hitam yang didakwa seksi baru-baru ini.
Tidak membuang masa, ibu tunggal itu membalas tindakan bekas tunangnya melalui sesi siaran langsung di TikTok untuk memperjelaskan situasi yang dialaminya.
Dengan sedikit sinis, pelakon yang biasa dipanggil Anju tersebut membongkar identiti orang yang bertutur tentang agama dan halal-haram sebagai individu yang pernah membawa dirinya ke sana-sini.
“Setiap orang ingin berubah ke arah yang lebih baik. Gila kalau ada yang tak suka jadi baik dan saya sendiri pun ada niat bertudung (tutup aurat),” katanya.
Sebelum itu, lelaki terbabit mengakui malu atas tindakan Zarina mengenakan gaun hitam yang disifatkan seksi ketika kali pertama membuat pendedahan mengenai hubungan mereka yang berantakan baru-baru ini.
“Kenapa Anju macam itu. Tolonglah jaga aurat. Malu pada Allah, saya malu,” luahnya.
Kenyataan disebutkan ahli perniagaan itu turut membuatkan netizen tidak senang duduk apabila merasakan artis kesayangan mereka diperlakukan dengan teruk.
Apatah lagi minggu lalu, bintang Mimpi Moon itu menzahirkan lara hati dengan memberi bayangan ikatan pertunangan antaranya dengan duda berkenaan terlerai di tengah jalan
Andai dihitung, perjalanan cinta antara mereka juga terlalu singkat yang dipercayai bermula sekitar akhir tahun lalu, disusuli detik pertunangan pada 24 Januari 2023.
Genap dua minggu menunjukkan cincin di jari manis yang menandakan selangkah lagi untuk ke jenjang pelamin, Zarina memberi isyarat ikatan yang dibina bersama lelaki itu terlerai.
Maka laman sosial menjadi gelanggang melepaskan duka hati, apatah lagi selepas merasakan dirinya dijadikan bahan ‘content’ kepada bekas tunang yang didakwa mempergunakan nama dan statusnya sebagai artis.
Atas dasar kasihan terhadap nasib Zarina yang kerap gagal dalam perhubungan, selain mendakwa melihat ‘red flag’ (ciri pasangan toksik) pada bekas tunangnya membuatkan netizen berusaha mengorek kisah silam Khazrul.
Tidak berdiam diri apabila dirinya diusik, usahawan itu menempelak sikap netizen yang mencampuri hal peribadi orang lain, selain bertanya kembali sama ada mereka mempunyai masalah dengan kisah silamnya.
Akui Khazrul, selama ini segala cerita lalu tidak pernah dirahsiakan daripada pengetahuan aktres berkenaan malah segala yang dilalui berbalik kepada aturan Allah.
Malah dia juga menempelak ‘Jabatan Netizen’ yang membongkar hasil siasatan mendakwa dia telah lima kali kahwin cerai.
“Dah tak ada jodoh, ada masalah? Lelaki boleh kahwin empat. 100 kali kahwin cerai apa ada masalah kalau dah tiada jodoh,” katanya.
Tidak terhenti di situ, Khazrul bahkan bertindak menyindir pihak yang gigih memuat naik video lamanya ketika masih bersama beberapa bekas isteri yang terdahulu.
“Terima kasih ‘naikkan’ video lama. Dapat banyak ‘view’ yang boleh jadikan saya YouTuber pula. Tiada apa yang disembunyikan, semua dia tahu pasal saya (dan) kenapa saya berpisah. Tiada isu,” ujarnya yang menitiskan air mata dalam salah sebuah video.
Sumber : Kosmo! Online
0 Comments