Selepas mengidam menghidu bau simen dinding, pelakon Asha Merican, 25, yang kini hamil trimester ketiga, mengidam untuk memiliki permainan lato-lato pula.
Ini memaksa suaminya yang juga pelakon, Harris Anuar bergegas mencarinya dan akhirnya berjaya mendapatkannya selepas meninjau di lima kedai.
"Geng, bini mengidam nak main lato-lato mana nak cari eh? Dah pergi lima kedai Acheh tak jumpa-jumpa. Tolong," tulisnya di Instagram semalam.
Perkongsian ini mendapat tanda suka lebih 12,000 pengikutnya serta lebih 500 komen termasuk rakan-rakan selebriti. Malah, ada antara mereka menulis komen nakal mengusiknya.
Asha ketika dihubungi berkata, dia gembira apabila suaminya berjaya membeli lato-lato.
"Memang saya dah lama mengidam nak main lato-lato ini. Banyak juga kedai dia pergi cari tapi tak jumpa-jumpa. Akhirnya ramai orang beritahu dekat Uptown Damansara ada jual. Memandangkan kami tinggal di Damansara, suami pergi beli di sekitar sini.
"Sebenarnya rasa pelik juga sebab ini kali pertama saya rasa begini. Sebelum ini saya tak pernah rasa nak main benda-benda macam ini," katanya kepada Harian Metro.
Menurut pelakon drama bersiri Cik Ayu Mee Sanggul ini, tiga hari lamanya dia memberitahu Harris berkenaan keinginannya mahu bermain lato-lato.
"Mulanya dia ingat saya main-main. Keinginan timbul apabila saya tengok satu video lato-lato di TikTok. Jadi saya telefon suami suruh beli juga.
"Dia segera cari di kedai berdekatan rumah tapi tak jumpa. Namun, akhirnya dia berjaya beli dengan bantuan pengikut Instagramnya.
"Apabila dah dapat main lato-lato rasa puas itu memang lain macam," katanya yang merahsiakan jantina bayinya.
Sementara itu, Asha yang akan tampil dengan drama Pengantin Pasti Jadi mengakui berdebar-debar menanti kelahiran bayi pertama mereka.
"Takut juga sebenarnya. Buat masa ini saya hanya berehat. Insya-Allah habis bersalin dan berpantang saya akan sambung semula berlakon.
"Alhamdulillah suami layan saja permintaan saya. Makan pun dia selalu masakkan untuk saya. Bangun pagi dengar bunyi bising dekat dapur ingatkan apalah dia buat.
"Rupa-rupanya dia masak untuk saya. Dia memang seorang suami yang penyayang dan rajin," katanya.
Harris dan Asha mendirikan rumah tangga pada 11 Jun tahun lalu selepas empat tahun menjalin hubungan cinta.
Sumber : Harian Metro
0 Comments