Ticker

6/recent/ticker-posts

Negara Kita Ada Undang-Undang, Kebenaran Akan Terungkap Juga Akhirnya - Puteri Sarah

 


"Negara ada undang-undang dan kebenaran akan terungkap."


Pelakon Puteri Sarah Liyana mengumumkan bahawa Mahkamah Sesyen telah membenarkan permohonannya untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Ira Kazar, isteri kedua pengarah Syamsul Yusof bersama-sama bapa dan kakaknya semalam.


Ira, kakaknya Yasmin dan bapanya, Kazaruddin Saisi, dikehendaki untuk menjawab tindakan mengingkari perintah injunksi yang dikeluarkan terhadap mereka pada Julai tahun lalu.


Memetik artikel dari Harian Metro, perintah injunksi yang dikeluarkan pada 4 Julai tahun lalu antara lainnya menghalang Ira atau sesiapa yang mempunyai kaitan dengannya daripada menjejaskan ketenteraman dan kedamaian Puteri Sarah dan keluarganya serta keluarga mentuanya termasuk suaminya.


Ira juga dihalang daripada mendekati atau berada dalam jarak 500 meter daripada Puteri Sarah, keluarganya dan keluarga mentuanya, suaminya atau sesiapa yang mempunyai kaitan dengannya (Puteri Sarah).


Menurut Puteri Sarah, dia tidak dapat berkongsi butiran lanjut kerana kes masih dalam peringkat permulaan. "Tiada apa yang boleh saya komen sekarang ini. Cuma doakan yang baik-baik untuk saya.



"Segala tindakan yang saya lakukan selama ini adalah untuk melindungi anak-anak saya.


"Saya ingin berterima kasih kepada pasukan peguam saya yang bertungkus-lumus membantu dalam memastikan saya kuat dan tabah dengan ujian ini," katanya.


Untuk rekod,  pada 16 Januari yang lalu, Puteri Sarah telah memfailkan permohonan cerai terhadap Syamsul di Mahkamah Syariah dengan alasan bahawa mereka tidak lagi dapat hidup bersama sebagai suami isteri kerana tiada persefahaman dan terdapat shiqaq (perbalahan berpanjangan) di antara mereka.


Selain itu, beliau juga menyatakan bahawa tekanan dan gangguan daripada pihak ketiga serta hubungan sulit Syamsul turut mendorongnya untuk memfailkan permohonan cerai tersebut.


Pada 6 Januari, Syamsul telah membuat pengakuan melalui video di Instagram bahawa beliau telah bernikah dengan Ira di Thailand berdasarkan persetujuan bapa mentuanya, Kazar. 


Puteri Sarah dan Syamsul mempunyai dua orang anak bersama, iaitu Syaikhul Islam yang berusia enam tahun dan Sumayyah yang berusia empat tahun.


Sumber : Harian Metro

Post a Comment

0 Comments