Ticker

6/recent/ticker-posts

Niat saya ikhlas cari rezeki, tidak endah gelaran 'nasi lemak janda', - Mya

 


Pemilik perniagaan nasi lemak Mamamia mengakui bahawa dia merasa tidak selesa dengan gelaran "nasi lemak janda" yang diberikan oleh warganet selepas kisahnya menjadi viral di media sosial baru-baru ini.


Sebagai seorang ibu tunggal, Sharifah Nurul Hamirah Syed Mohd Hamzi, 30 tahun, yang mesra dipanggil Mya, berkata bahawa gelaran tersebut telah menimbulkan pandangan sinis dan persepsi negatif dalam masyarakat.


Walau bagaimanapun, Mya berkata bahawa pandangan negatif tersebut tidak akan diendahkan atau diambil serius kerana dia tahu bahawa niat sebenar dalam berniaga adalah untuk mencari rezeki.


"Nasi lemak saya ada nama Mamamia, tapi disebabkan orang dah cakap macam itu (nasi lemak janda), kita tak boleh nak tutup mulut orang.



"Saya teruk dikecam, ada yang ingat saya nak rampas suami orang tapi saya selalu cakap kepada mereka, jangan risau kerana saya bukan kaki penyondol," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.


Menurutnya, terkadang dia terasa terguris hati apabila statusnya dianggap rendah oleh orang lain, tetapi dia cuba untuk berfikir positif dengan menganggapnya sebagai sebahagian daripada kaedah pengiklanan.


Sebagai seorang ibu kepada dua anak, dia memulakan perniagaannya di kawasan Sentul pada awal tahun lalu untuk menambahkan pendapatan keluarganya.


"Mulanya saya hanya ambil tempahan dari rumah tapi disebabkan hadapi masalah ada yang buat pembatalan lewat selain proses COD (tunai bayar waktu terima) yang agak leceh jadi saya ambil keputusan meniaga di tepi jalan.


"Sambutan yang diterima menggalakkan, mulanya hanya 200 bungkus kini tempahan boleh mencecah hingga 1,000 bungkus sehari.


"Patutnya tempahan lebih tapi ada antaranya terpaksa ditolak kerana tidak cukup kakitangan," katanya.


Kongsi Mya, nasi lemak Mamamia diusahakan bersama keluarga yang mana sambalnya dimasak sendiri oleh ibunya menggunakan resipi orang lama.


"Biasanya kami masak sekitar jam 4 pagi kemudian mula berniaga sekitar jam 7.30 pagi hingga habis.


"Saya mulanya berniaga ditemani ayah dan kini dibantu juga dengan beberapa ahli keluarga yang lain.

"Untuk jangka masa panjang, ada juga perancangan untuk buka kedai kerana ada permintaan. Kini sedang kenal pasti beberapa lokasi berpotensi, namun bukan dalam masa terdekat kerana masih berusaha ke arah itu," katanya.


Mya berkata dia lebih gemar berniaga daripada bekerja dengan gaji kerana dia mempunyai minat dalam bidang perniagaan makanan, dan keluarganya juga turut menjalankan perniagaan yang serupa.


Apabila ditanya mengenai harapannya untuk Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada hari Jumaat, Mya berharap bahawa kerajaan akan terus memperkasa golongan usahawan dan peniaga kecil.


"Bantuan dana memang sudah disediakan cuma kalau boleh disediakan lebih banyak kedai dengan harga sewa rendah yang boleh dibiayai oleh peniaga kecil yang baharu hendak memulakan perniagaan seperti saya," katanya.


SUMBER : SINAR HARIAN


Post a Comment

0 Comments