Ticker

6/recent/ticker-posts

Ibubapa Shila Amzah, ND Lala dan Fauziah Sah bercerai

 


Selepas 34 mendirikan rumah tangga, ibu kepada Shila Amzah, Datin Fauziah Sarman mengesahkan telah diceraikan suaminya, Datuk ND Lala pada 2 Ogos lalu.

Pendedahan itu dikongsikan menerusi Instagram yang dikatakan memberi kelegaan buatnya apabila kemelut dalam perkahwinan mereka berakhir biarpun perkara tersebut hanya dimaklumkan kepadanya menerusi WhatsApp semalam.

“Assalamualaikum semua. Alhamdulillah dengan izin-Nya dan kekuatan kasih sayang Allah kepada saya, saya ingin memaklumkan kepada semua yang saya telah menerima lafaz cerai melalui aplikasi WhatsApp yang dikirimkan pada pagi 8 Ogos 2023.

“Bagi perkahwinan yang terbina selama 34 tahun, lafaz cerai ini dibuat bekas suami saya pada tarikh 2 Ogos lalu di Masjid Ar Rahman, Bangsar dan saya dimaklumkan semalam (8 Ogos 2023) melalui WhatsApp,” katanya.

Ibu kepada empat anak itu juga berlapang dada menerima ketentuan Allah selain berharap dapat menjalani kehidupan lebih baik selepas ini.

“Alhamdullilah, Allah telah memberikan saya kekuatan yang sangat luar biasa untuk menerima ketentuan ini.

“Saya menerima segala ini dengan berlapang dada kerana saya yakin doa saya, doa insan-insan yang sentiasa ada di belakang saya selama bertahun-tahun ini adalah asbab untuk saya mendapat kehidupan yang lebih baik, tenang dan sempurna, insya-Allah.

Menurut Fauziah lagi, status diri serta berkenaan perceraian mereka perlu didedahkan agar tidak timbul sebarang fitnah kemudian hari.



“Saya menulis ini untuk menjelaskan status saya agar tidak timbul sebarang fitnah dan cuba mendidik jiwa saya untuk tidak menafikan kenyataan yang telah tertulis dalam perkahwinan kami selama 34 tahun ini,” tulisnya.

Pada masa sama, wanita berusia 55 tahun itu turut meminta orang ramai mendoakan supaya dirinya terus kuat untuk meneruskan kehidupan.

“Doakan untuk saya terus kuat sebagaimana saya kuat selama bertahun-tahun hidup dalam penipuan.

“Apa yang telah menjadi sejarah akan saya titipkan sebagai nadi kekuatan saya dalam membina hidup yang lebih diredhai Allah tanpa menyakitkan jiwa sesiapa kerana saya sangat sedar, dosa sesama manusia ini sangatlah berat.

“Terima kasih untuk doa semua dan buat mereka yang ada dalam kisah saya yang sangat panjang dan payah untuk diungkapkan dalam baris kata. Hanya Allah SWT sahaja yang mampu membalas budi baik dan kasih sayang kalian semua.

Sebelum ini, timbul khabar angin membabitkan ND Lala mengenai pernikahannya dengan seorang wanita lebih muda.

Bagaimanapun, sehingga kini penyanyi popular era 80-an itu masih tidak mengeluarkan sebarang penjelasan atau kenyataan berhubung dakwaan tersebut.


Sumber: mstar

Post a Comment

0 Comments